Ahad, 15 Mei 2011
Seram: Bilik gantung ‘sunyi’ sejak 2009
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan hukuman gantung sampai mati yang terhenti sejak tahun 2009, menjadikan bilik gantung di beberapa buah penjara yang menjalankan hukuman itu menjadi ‘sunyi’ dan keranda yang disediakan juga seperti terbiar.
Situasi tersebut juga dikatakan kali pertama berlaku dalam tempoh yang panjang. Walaupun hukuman itu sering dijatuhkan oleh mahkamah tetapi kesemua kes hukuman gantung sejak 2009 masih belum selesai dan di peringkat rayuan.
Sumber berkata, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman gantung, pesalah masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan sehingga pelaksanaan hukuman tertangguh.
“Proses rayuan itu ada yang tertangguh dan tidak dapat diselesaikan sehingga kini, sebab itu tiada pesalah digantung sampai mati dipenjara di seluruh negara sejak 2009,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Mengikut sistem perundangan di Malaysia, seseorang pesalah itu akan melalui beberapa peringkat iaitu peringkat pertama, hukuman itu disebut semula di Mahkamah Tinggi, diikuti Mahkamah Rayuan dan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Sekiranya ketiga-tiga peringkat mahkamah tersebut mensabitkan kesalahan tertuduh, maka satu rayuan pengampunan boleh dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong atau ketua-ketua negeri, bergantung di mana kesalahan itu dilakukan.
Keputusan yang diambil adalah dianggap muktamad dan sekiranya hukuman itu dikekalkan, mahkamah akan memerintahkan Jabatan Penjara menjalankan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah.
Posted by nadia_tomei at 9:09 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan